Perintah Kawalan Di Malaysia Berita Terkini

Berita tergempar, pada 16 Mac, 2020 , tepat pukul 10.04 malam, Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020 hingga ke 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Hal ini kerana, selama dua hari ini Malaysia telah mencatatkan jumlah peningkatan yg mendadak. Sebanyak 315 Kes baru kes baharu dikenal pasti dalam masa 2 hari sahaja. Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini sebanyak 553 orang.

Kami dari Pihak Rumah Mu, berharap semua Rakyat Malaysia bekerjasama dengan Pihak Kerajaan untuk membendung virus COVID-19 untuk kesejahteraan and kebaikan semua. Perintah kawalan ini dibuat dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari; 

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas,bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin diucapan beliau semalam mengatakan yang “Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua” Beliau juga menekankan bahawa “Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin”

Dengan Pengumuman sekatan pergerakan terbaru ini, kami ingin menyampaikan sokongan ikhlas kami kepada semua rakyat Malaysia. Sila bertenang, berhati-hati dan mengamalkan kebersihan diri yang baik! Sentiasa cuci tangan sebelum makan dan elakkan untuk menyentuh bahagian muka anda.

Bersama, kita boleh membendung virus ini dengan melakukan bahagian kita untuk mengekalkan kesihatan pada setiap masa. Ingat! Jaga antara satu sama lain! Kami semua rakyat Malasyia, bersama mencegah covid-19!