9 Skim Perumahan Mampu Milik Di Malaysia

9 Skim Perumahan Mampu Milik Di Malaysia

Sejak Negara yang tercinta makin membangun, tidak dinafikan yang harga rumah juga melambung jauh dari genggaman rakyat kita. Ramai juga anak muda sehingga ke umur 30-an tidak dapat memiliki rumah akibat terlalu mahal dan bermasalah untuk membayar deposit wang.

Tetapi itu tidak bermaksud tiada peluang langsung untuk anda memiliki rumah sendiri. Artikel ini akan memberikan maklumat mengenai 10 skim rumah mampu milik.

1. PRIMA

Perbadanan PR1MA Malaysia menawarkan perumahan berkualiti tinggi bagi mereka yang berpendapatan sederhana.

Kediaman PR1MA yang terletak di kawasan strategik di seluruh negara ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah ini bermula dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000.

Syarat memohon:

  • Berumur 21 tahun dan ke atas.
  • Pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM15,000.
  • Boleh dibeli sebagai kediaman pertama dan kedua.

2.Skim Rumah Pertamaku

Skim ini diumumkan untuk membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM5,000 sebulan.

Skim ini membolehkan pembeli rumah mendapat pembiayaan sebanyak 100% daripada institusi kewangan tanpa perlu membayar wang pendahuluan 10%.

Syarat memohon:

  • Pembeli rumah pertama
  • Pekerja sektor swasta
  • Berumur tidak lebih 40 tahun
  • Pendapatan kasar peminjam tidak lebih daripada RM5,000 sebulan dan pendapatan kasar peminjam bersama tidak lebih daripada RM10,000 sebulan
  • Pembayaran balik tidak boleh melebihi 60% daripada komitmen
  • Harta yang layak dipohon:
  • Harta kediaman yang terletak dalam Malaysia
  • Nilai minimum hartanah RM100,000 dan maksimum RM500,000
  • Dihuni oleh pemilik (pembeli mestilah menghuni kediaman berkenaan)

3.Perumahan  Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)

Skim rumah mampu milik ini khas untuk penjawat awam. Kediaman yang berharga antara RM90,000 hingga RM300,000 ini berkeluasan antara 850 hingga 1,500 kaki persegi.

Syarat memohon:

  • Semua penjawat awam, termasuk yang telah berpencen dan kontrak
  • Keutamaan diberikan kepada pemohon yang berpendapatan tidak melebihi RM10,000 dan bekerja berdekatan dengan lokasi rumah yang dibina.
  • Pemohon tidak di isytiharkan muflis

4.Program Rumah Terbengkalai

Program ini khas bagi membantu mereka yang terlibat dalam projek rumah terbengkalai.

Syarat memohon:

  • Surat pengesahan projek perumahan terbengkalai
  • Pembeli terlibat boleh kemukakan nama, alamat lengkap institusi pembiayaan, salinan Perjanjian Jual Beli (S&P) dan salinan Kad Pengenalan pembeli.

5.RUMAWIP

Skim  rumah mampu milik ini adalah untuk golongan berpendapatan rendah yang menetap di Wilayah Persekutuan.

Syarat memohon:

  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Dilahirkan atau menetap di Wilayah Persekutuan
  • Pendapatan kasar individu dibawah RM10,000 dan tidak lebih daripada RM15,000(suami dan isteri)
  • Suami atau isteri boleh memohon RUMAWIP di Wilayah Persekutuan namun hanya satu tawaran sahaja diberikan kepada setiap isi rumah.

6.BSN MyHOME-i

BSN MyHome-i (Skim Perumahan Belia) adalah pinjaman rumah yang mematuhi Syariah bagi membantu belia yang telah berkahwin untuk memiliki rumah pertama mereka.

BSN akan menyediakan sehingga 100% pembiayaan untuk membeli rumah impian anda, sama ada siap atau dalam pembinaan, antara RM100,000 hingga RM500,000.

Syarat memohon:

  • Pasangan yang Berumur 25 tahun hingga 40 tahun
  • Pendapatan isi rumah tidak lebih daripada RM10,000 sebulan
  • Pembeli rumah pertama
  • Pemegang akaun BSN GIRO/GIRO-I
  1. MyDeposit

Skim ini merupakan satu insentif kerajaan bagi membantu golongan sederhana menjelaskan wang pendahuluan rumah pertama mereka.

Syarat memohon:

  • Berumur 21 tahun ke atas.
  • Pembelian rumah pertama.
  • Pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 hingga RM15,000 sebulan.
  • Pembelian rumah untuk tujuan diduduki.

8.SKIM MYHOME

Skim perumahan mampu milik swasta atau lebih dikenali sebagai MyHome. Skim ini merupakan salah satu langkah kerajaan untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik. Skim MyHome menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit yang memberi faedah kepada pembeli-pembeli rumah dan pemaju-pemaju swasta.

Syarat memohon;

  • Berumur 21 tahun ke atas.
  • Pembelian rumah pertama bagi satu isi rumah. Pasangan sama ada suami atau isteri yang telah memiliki rumah bagi satu isi rumah adalah TIDAK LAYAK.
  • Pendapatan isi rumah RM10,000 ke bawah

9.Rumah Transit 1 Malaysia

Program Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) bertujuan untuk memberi kemudahan perumahan kepada pasangan muda yang berkahwin berumur 30 tahun dan ke bawah serta berpendapatan sederhana.

Rumah jenis ini disewakan dengan kadar sebanyak RM250.00 sebulan bagi tempoh sewaan selama tiga tahun. Penyewa akan diberikan notis enam bulan sebelum tamat tempoh kontrak.

Syarat memohon;

  • Berumur 18 hingga 30 tahun
  • Pemohon tidak mempunyai rumah sendiri di kawasan atau negeri rumah yang dipohon.
  • Pemohon bekerja di kawasan/ negeri rumah transit yang dipohon
  • Pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah
  • Tiada rekod jenayah

Leave a Reply

Your email address will not be published.