Kenaikan duti setem bagi hartanah lebih RM1 juta berkuat kuasa 1 Julai, 2019

KENAIKAN kadar duti setem sebanyak satu peratus bagi surat cara pindah milik harta semasa bernilai lebih RM1 juta sehingga RM2.5 juta akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata kerajaan mengekalkan kadar duti setem semasa bagi harta dalam nilai berkenaan untuk tempoh enam bulan antara 1 Jan, 2019 sehingga 30 Jun, 2019 dengan bertujuan menggalakkan kelangsungan aktiviti dalam sektor hartanah.

Sebelum ini, dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan kadar duti setem bagi harta dalam nilai berkenaan dinaikkan daripada tiga peratus kepada empat peratus mulai 1 Jan, 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan Pakatan Harapan amat prihatin dan berlaku adil dalam memperuntukkan tempoh masa yang mencukupi supaya proses pindah milik dapat dilakukan dalam tempoh peralihan sebelum kadar baharu duti setem dikuatkuasakan.

“Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah bersetuju memberikan insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata bagi rumah pertama berharga sehingga RM300,000, duti setem dikecualikan bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman, dengan perjanjian jual beli perlu diselesaikan dalam tempoh 1 Jan 2019 sehingga 31 Dis 2020.

“Bagi rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000, duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman dikecualikan terhad kepada RM300,000 pertama daripada harga rumah tersebut, dengan perjanjian jual beli perlu disempurnakan mulai 1 Julai, 2019 hingga 31 Dis, 2020.

“Manakala, duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi rumah berharga antara RM300,001 dan RM1 juta yang dibeli daripada mana-mana pemaju perumahan adalah dikecualikan, bagi perjanjian jual beli yang diselesaikan mulai 1 Jan, 2019 sehingga 30 Jun, 2019,” katanya.

Lim berkata pengecualian duti setem tersebut bertujuan terus menggalakkan pembelian rumah pertama oleh rakyat Malaysia, meningkatkan pembelian unit rumah yang tidak terjual daripada pemaju, serta merancakkan pasaran hartanah.

“Langkah ini merupakan antara satu usaha bagi mengatasi isu lebihan bekalan hartanah kediaman yang semakin meningkat,” katanya.